 |
Isu Bahasa atau Mentaliti?
Saya jarang menulis di dalam bahasa ibunda. Tapi entah
mengapa kali ini saya terpanggil untuk menulis sebegini. Ya, saya
mengaku bahawasanya saya lebih 'expressive' menggunakan bahasa Inggeris.
Malah kebanyakan lagu yang saya gubah adalah di dalam bahasa itu.
Adakah saya telah lupa akan asal usulku? Tidak. Tapi ramai juga
yang beranggapan sebaliknya.
Memang isu bahasa ini amat sensitif. Dari dulu sampai
sekarang, ada sahaja yang tidak kena. Malah sehingga kini, isu Bahasa
Melayukah atau Bahasa Malaysiakah masih menjadi perdebatan. Saya
masih menyokong ia dipanggil Bahasa Melayu. Pertamanya kerana di
dalam Perlembagaan Negara, bahasa kebangsaan dipanggil Bahasa Melayu.
Kedua kerana apabila saya berbicara dalam bahasa Inggeris, jika
orang bertanya asal saya dari mana dan apa bahasa yang saya tutur,
saya menjawab, "I'm a Malaysian, and I speak Malay." Itu
sahaja sebab yang boleh saya beri bagi menyokong hujahku. Tapi seperti
biasa, bukan semua bersetuju.
Kini, isu bahasa timbul lagi. Kali ini, ia amat hangat
kerana jika silap langkah, boleh menyebabkan perpecahan kaum. Ya,
ramai yang akan berkata, betulkah kata-kata cacing biru ini? Sesungguhnya,
ramai yang tidak sedar akan impak isu bahasa kali ini terhadap masyarakat.
Ramai yang menyokong dan membangkang sahaja membabi buta. Malah
isu ini juga dipolitikkan. Jika ia dipolitikkan berdasarkan hujah-hujah
yang bernas, tidak apa juga. Tapi setakat ini, hampir kesemuanya
hujah kosong baik daripada kerajaan, mahupun pembangkang. Dimanakah
cendekiawan dan ahli pemikir negaraku? Sudah matikah mereka semua?
Lihat sahaja ahli-ahli politikus usang ini semua, inikah dia kata-kata
pemimpin masyarakat? No subtance !!
Yang peliknya dan sedihnya, saya lihat rakyat kita,
generasi kita percaya bulat-bulat omong-omong kosong mereka-mereka
ini. Saya sedar betapa kebelakangnya masyarakat kita. Tidak ada
ayat di dalam Al Quran dan Sunnah yang menghalang seorang Islam
menguasai pelbagai bahasa. Malah, kita digalakkan menguasai banyak
bahasa. Apa salahnya belajar dalam bahasa Inggeris?
Ada yang berhujah, meminta saya melihat ke negara
Jepun, yang dapat menjadi kuasa besar ekonomi dunia, dan pusat ilmu,
hanya dengan menggunakan bahasa ibunda mereka. Tapi kita lupa, rakyat
Jepun bukan sahaja rajin bekerja, tapi juga rajin mencari ilmu!
Masyarakat kita, baca buku pun tak mahu!! Alasannya, buku mahal.
Tapi kalau berbelanja membeli VCD dan CD cetak rompak, berpuluh-puluh
ringgit pun tidak apa!! Hmmm...
Jepun maju kerana mereka amat bangga dengan budaya
mereka. Ahli-ahli bahasa mereka bertungkus-lumus mencipta istilah-istilah
baru di dalam bahasa, seiring dengan perkembangan ilmu dan penemuan
teknologi baru. Ini dibantu dengan para ilmuan Jepun, yang menulis
buku-buku ilmiah di dalam pelbagai bidang, sehinggakan mereka tidak
perlu sangat akan buku-buku cendekiawan barat. Ditambah lagi dengan
usaha ahli-ahli seni Jepun, baik di dalam bidang filem, muzik mahupun
lukisan komik, yang membuatkan generasi baru Jepun berbangga dengan
budaya dan bahasa mereka. Rakyat Malaysia sendiri meminati drama-drama,
komik dan kartun-kartun Jepun. Malah ramai rakyat tempatan kini
dapat menyebut beberapa istilah Jepun kesan dorama-dorama yang disiarkan
di televisyen. Aish-te-ru. :)
Tapi Malaysia? Ahli-ahli bahasa kita dipandang rendah
oleh masyarakat sendiri. Usaha mereka tenggelam dan tidak kedengaran,
sama seperti bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka, yang sering tenggelam
dengan arus kesesakan lalulintas kenderaan-kenderaan yang mahu ke
bandar Kuala Lumpur. Tiada insentif besar bagi mereka untuk terus
maju. Para penulis kita pula, baik sasterawan mahupun cendekiawan
menulis seolah-olah umpama melepaskan batuk di tangga. Kebanyakan
mereka bosan kerana usaha mereka tidak mendapat sambutan masyarakat.
Buku-buku mereka diletakkan nun jauh di sudut kebelakang kedai-kedai
buku besar. Kalau adapun yang diletak di depan, hanyalah buku-buku
politikus-politikus usang itu tadi. Sekilas pandang buku-buku penulis-penulis
ini, seperti hidup segan mati tak mahu.
Industri filem dan muzik tanahair? Ada ke?!! Setahu
saya, tak wujud industri sedemikian. Kalau industri stesen radio
dan televisyen, ya, itu saya tahu wujud. Filem dan muzik? Hmmm.
Maaflah. Malaysia tidak ada industri sedemikian lagi. Tak percaya
tanyalah mana-mana bank di negara Malaysia ini. Sanggupkah mereka
memberi wang pinjaman bagi membuat filem atau mengadakan konsert
muzik? Tentu sekali tidak. Kenapa? Kerana tidak wujud lagi industri
muzik dan filem di tanahair Malaysia ini.
Jadi jangan ada yang cuba membandingkan negara kita
dengan Jepun. Sesungguhnya kita jauh kebelakang dari mereka. Saya
tahu dan sedar akan pentingnya Bahasa Melayu. Ia menjadi satu bahasa
yang mengeratkan perpaduan kaum di negara kita ini. Tapi untuk menjadikan
ia bahasa ilmu, saya kira sudah agak terlambat. Kita seharusnya
mengambil inisiatif dari negara Jepun dahulu, tapi malangnya tiada
siapa yang peduli. Dasar pandang ke Timur oleh Dr. Mahathir ada
meritnya, tapi rakyat Malaysia seperti biasa hanya mengambil kerajinan
kerja mereka, tapi tidak mengambil budaya kerja mereka. Jepun tidak
mengambil bulat-bulat ilmu dari barat, tapi menyesuaikan ilmu tersebut
mengikut budaya dn fahaman mereka. Malah mereka juga memajukan dan
mengembangkan lagi ilmu tersebut. They improvise! Malaysia seperti
biasa hanya 'cut and paste'.
Mentaliti rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu
generasi sekarang memang amat mundur. Kita ambil contoh istilah
" Bahasa Menunjukkan Bangsa". Ramai yang menganggap, ia
bermakna jika kita bertutur dalam bahasa Melayu, itu menunjukkan
kita orang Malaysia. Tak kurang juga yang membuat lawak, kalau kita
berbahasa Inggeris, kita orang putih. Tapi cuba kita lihat cerita
P.Ramlee, 'Seniman Bujang Lapok'. Dimanakah arwah Tan Sri P.Ramlee
meletakkan dialog menggunakan istilah tersebut? Sewaktu disindir
oleh si benggali jaga bukan? Kenapa arwah berbuat demikian? Jika
saya tafsirkan, ia bermakna, cara kita berbahasa itu yang penting.
Satu bangsa yang bermaruah, kaya dengan adab sopan. Tahu berbudi
dan berbahasa. Maka wujudlah istilah 'Bahasa Menunjukkan Bangsa'.
Tapi seperti biasa, ramai yang tersalah tafsir.
Jadi salah siapa Bahasa Melayu terpinggir? Salah kerajaan?
Salah penulis? Sebenarnya salah kita sendiri. Semua kita sendiri.
Sekarang dengan era globalisasi. bertambahlah payah untuk kita cuba
membangkitkan semula semangat cintakan Bahasa Melayu. Nak jadikan
bahasa ilmu lagilah payah. Dan memang sebenarnya, satu bahasa yang
penting itu, adalah juga bahasa ilmu. Dan untuk menjadi bahasa ilmu,
kita perlu mengambil kira semua aspek, dari para ahli bahasanya,
ke penulis-penulisnya, ilmuan-ilmuannya dan juga ahli-ahli seninya
Mereka ini semua penting untuk mengembangkan bahasa dan budaya.
Sesungguhnya fungsi utama sesuatu bahasa itu adalah menjadi bahasa
ilmu dan alat mempromosikan budaya. Tapi kini, mereka-mereka ini
semua adalah orang-orang yang tidak dihargai oleh rakyat kita sendiri.
Kerajaan pula nampak gayanya tidak memberi insentif yang mencukupi
bagi golongan ini sehinggakan ada penulis yang terpaksa mencetak
karyanya sendiri. Sektor kewangan dan swasta tempatan pula, tidak
yakin dengan potensi golongan ini untuk maju.
Nak tak nak, kita terpaksa juga menggunakan bahasa
Inggeris. Kita harus menerima hakikat yang kita telah terlambat
memajukan sektor-sektor ini. Di Jepun dan Amerika, ada wujudnya
industri filem, muzik, komik dan penulisan. Di Malaysia, industri
ini belum wujud. Dahulu ada jugak potensi, terutamanya di tahun
80-an. Tapi entah bagaimana, semuanya beransur-ansur lenyap. Jarang
lagi orang membeli album-album dan komik-komik tempatan. Filem tempatan
pun tidak mendapat sambutan. Malah, ada panggung-panggung wayang
tidak mahu menayang filem-filem ini!
Kesannya, kita lihat sekarang terdapat satu jurang
polarisasi yang besar di kalangan rakyat Malaysia. Bahasa Melayu
dijadikan bahasa kebangsaan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia.
Apabila ia sudah tidak lagi menjadi penting, sudah pasti perpaduan
kaum menjadi lemah, kerana kini tidak wujud satu persamaan yang
boleh merangsangkan semangat perpaduan. Jadi kita lihat kaum cina
di Malaysia lebih gemar berbahasa kantonis, foo-chow dan mandarin,
manakala kaum India berbahasa Tamil. Ini belum diambil kira suku
kaum tempatan Sarawak dan Sabah yang punya dialek mereka sendiri.
Bahasa Melayu kini hanya menjadi satu subjek peperiksaan yang wajib
lulus sahaja.
Jadi, adakah ini bermakna rakyat kita fasih berbahasa
Inggeris, memandangkan kebanyakan filem dan lagu-lagu yang digemari
generasi sekarang adalah dari barat? Jangan terkejut, tapi jawapannya
TIDAK! Memang pelik sungguh melihat fenomena ini. Manakan mungkin
kita tidak fasih berbahasa Inggeris, sedangkan hari-hari kita dihidangkan
dengan drama-drama, filem-filem dan lagu-lagu Inggeris. Tapi inilah
hakikatnya masyarakat kita sekarang. Sudahlah bahasa sendiri di
anak tirikan, bahasa ilmu di dunia kini pula tidak dikuasai.
Sekarang kita lihat heboh satu Malaysia tentang isu
bahasa Inggeris yang akan dijadikan bahasa pengantar bagi subjek
Matematik dan Sains. Polisi ini dibuat kerana tahap penguasaan bahasa
Inggeris dikalangan generasi kini memang amat menyedihkan. Lihat
sahaja di universiti-universiti tempatan. Antara alasan-alasan yang
diberi oleh para pelajar yang gagal ialah mereka tidak faham bahasa
Inggeris. Sungguh memalukan.
Saya tertarik dengan hujah dari Parti Gerakan tentang
isu ini yang saya baca dari akhbar. Mereka tidak bersetuju dengan
polisi baru ini kerana ia tidak akan membuat rakyat menguasai bahasa
Inggeris, tapi akan hanya menyebabkan lagi ramai yang tidak dapat
menguasai Matematik dan Sains. Malah, bilangan guru yang mahir untuk
mengajar pun tidak cukup. Bagi mereka, usaha lain harus dibuat untuk
menggalakkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat.
Polisi baru ini hanya akan menimbulkan lagi banyak masalah dari
menyelesaikan masalah. Bagi kaum Cina dan India yang punya sekolah
kebangsaan mereka sendiri, memang isu bahasa ini amat sensitif.
Ini kerana mereka mahu menjaga kepentingan bahasa mereka.
Hakikatnya, kita tidak berusaha bersungguh-sungguh
untuk meletakkan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa yang dibanggakan
di Malaysia. Walaupun baru-baru ini kita telah berjaya membuat Bahasa
Melayu diiktiraf di dunia, secara realitinya kita hanya berjaya
menjadikan ia bahasa pengantar di Malaysia. Sebab itu timbulnya
isu bahasa Inggeris ini. Jika bahasa Melayu itu sudah cukup kuat,
kita akan jadi seperti Jepun dan Cina, di mana orang barat yang
bekerja di sana harus menguasai bahasa mereka. Ini kita terbalik,
orang barat datang kerja di sini, kita pula yang kena bertutur dalam
bahasa ibunda dia.
Isu sebenarnya bukanlah mana lebih penting, bahasa
Melayu atau bahasa Inggeris. Kedua-dua bahasa penting sebenarnya.
Isu yang paling utama ialah mentaliti rakyat Malaysia itu sendiri.
Kita pinggirkan bahasa kebangsaan kita sendiri, dan pada waktu yang
sama kita tidak mahu menguasai bahasa ilmu nombor satu di dunia
pada kala ini. Bagi saya, ini membuktikan kita rakyat Malaysia mempunyai
masalah dari segi sikap dan mentaliti. Rakyat kita lebih gemar mengejar
wang dari ilmu. Kita malas membaca. Jika kita tidak melakukan sesuatu
untuk mengubah sikap kita ini, generasi akan datang tidak akan dapat
bersaing dengan negara lain kerana kekurangan ilmu. Malah, kemungkinan
perpaduan negara akan menjadi goyah dan lemah. Kita akan kembali
ke zaman jajahan British, di mana kebanyakan rakyat pada waktu itu
berpecah-belah, tidak bersatu padu dan kurang ilmu pengetahuan.
Cuma kali ini, punca dilemma ini datangnya dari kita sendiri.
Bluesyworms
|
|