The Free Site   |  vBuddy - business networking   |  Cheap Web Hosting - starting at $5

Laungan Merdeka

Saban kali menjelang lambaian Ogos, nostalgia silam pasti menggamit semula memori indahku... Kibaran Jalur Gemilang, nada-nada patriotik negara yang terus berkumandang tanpa lelah, tema tahunan di sana-sini, pesta-fiesta berwarna-warni dan sebagainya buatku bangga tak terhingga…

Dua tahun berlalu selepasku menamatkan title ‘siswa’, datangnya Ogos pasti membawa seribu satu kenangan indah. Manakan tidak, kerna diri inilah yang hidupkan semula Sambutan Hari Merdeka dan mengasaskan Sambutan Hari Malaysia di peringkat asrama pada masa itu. Mungkin bagi segolongan pihak... “Itu perkara kecil sahaja, apa yang hebatnya?” Tapi bagiku, sungguh besar pencapaian itu. Kepuasan bercampur bangga buatku terus tersenyum... yelah... biarlah rasa banggaku itu abadi bersamaku.

Lebih enam tahun aku bernafas di kota ini, lebih enam tahun jualah kukenali rentak kehidupan yang beraneka ragam menghiasi kota ini. Dalam tempoh sesingkat ini, sedikit demi sedikit kulihat perubahan dan kemajuan kota tersayang ini. Aku bertanya pada hati, siapalah aku untuk bercakap tentang kemajuan? Walau apapun tanggapan, aku bangga (sekali lagi)... aku memahami erti perubahan bergelar kemajuan ini.

Mungkin tidak ramai yang berpeluang menghidu ‘keajaiban’ Lembah Kelang dan kota KL ini, khasnya. Atau mungkin ada sebilangan kecil yang sengaja membutakan mata dan perasaan, cuba menafikan realiti yang berlaku di depan mata. Namun bagiku, KL ini bukan sahaja tempat berteduh warga beraneka ragam gelagat, tapi dalam erti yang lebih jujur, menjadi inti pembangunan dan kemajuan negara.

Soal tanyaku berulang tanpa jemu... sejauh mana SYUKUR kita ? Sedalam mana CINTA kita ? Atau, SEIKHLAS mana TERIMA KASIH kita terhadap apa yang kita ‘hirup’ ini... Tak pasti aku sama ada jawapannya boleh dilihat dari jumlah kibaran Jalur Gemilang pada kenderaan dan bangunan, atau Jualan Istimewa Merdeka (kononnya) di sana-sini ?

Jenayah rompak, bunuh, rogol dan rasuah masih malah kian menular, menjalar dan ‘mencalar’ mencabul kehormatan maruah dan identiti bangsa... Budaya asing atau stail Barat terus meracun, dijunjung... malah disanjung penuh riak.

Impian, harapan dan wawasan terus hidup, bernafas di celah tingkah bangsa yang menghiris. Bilakah tanahairku ini akan ‘senyum’ melihat Bangsa Malaysia yang maju dalam erti acuan sendiri, bersyukur dari aspek kemakmuran cemerlang dan berterima kasih atas segala yang dinikmati ?

Hati kecilku menyimpan harapan... moga nanti, NEGARA TERCINTA ini menjadi KASIH SEJATI yang tersemat pahat dalam setiap jiwa anak watan bergelar rakyat...

Ayuh saudara-saudariku, bersama melaung ‘Merdeka Tanahairku’... sememangnya KERANAMU MALAYSIA, aku adalah siapa aku kini...

by BoBo