Lemak
Lemak merupakan salah satu daripada komponen diet
kita. Ia penting kerana ia adalah komponen utama di dalam semua
membran sel kita. Selain itu, ia juga penting untuk sintesis beberapa
jenis hormon di dalam badan, seperti hormon seks dan hormon adrenokortikol.
Selain itu, ia penting untuk menyerap vitamin larut lemak seperti
Vitamin A, D, E dan K. Dari segi simpanan tenaga, lemak membekalkan
tenaga yang lebih tinggi daripada karbohidrat (2 kali ganda bagi
jisim yang sama). Akhir sekali, lemak berfungsi sebagai penebat
haba dan berfungsi menyokong dan melindingi organ dalam badan.
Lemak terdiri daripada 2 jenis, lemak tepu (saturated)
dan lemak tak tepu (unsaturated). Kedua-dua ini berlainan dari segi
struktur. Semua karbon di dalam lemak tepu terdapat atom hidrogen
terikat padanya (tiada ikatan kembar). Maka, struktur rantai ini
lurus dan molekul ini disusun secara padat dan memberi kurang ciri
kecairan. Lemak tepu wujud dalam bentuk pepejal pada suhu bilik.
Contoh lemak tepu ialah lemak haiwan.
Lemak tak tepu pula mempunyai ikatan kembar kerana
bukan semua karbonnya dipenuhi dengan hydrogen. Keadaan ini menyebabkan
struktur asid lemak tak tepu boleh membengkok dan ini menyebabkan
strukturnya disusun tidak padat. Ini memberikan sifat cair minyak
tak tepu. Ia wujud dalam bentuk cecair pada suhu bilik. Minyak tak
tepu kebanyakkanya datang dari sumber tumbuhan (kecuali minyak kelapa).
Minyak tak tepu dikatakan baik untuk kesihatan kerana ia membantu
menyokong kesihatan jantung dan membantu dalam fungsi sel.
Lemak tak tepu mempunyai 2 jenis, mono tak tepu (monounsaturated)
dan poli tak tepu (polyunsaturated). Mono tak tepu mempunyai 1 ikatan
kembar manakala poli tak tepu mempunyai lebih daripada satu ikatan
kembar. Minyak poli tak tepu (minyak jagung) lebih cair daripada
minyak mono tak tepu (minyak zaitun). Asid lemak perlu (essential
fatty acid) tergolong dalam lemak polyunsaturated.
by Marsyal Yau@Makob
|